
KUCHING – Sarawak kini mengorak langkah mengubah hala tuju sektor acara perniagaan daripada sekadar pelancongan tradisional kepada penganjuran berteraskan komuniti yang lebih bermakna dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini direalisasikan menerusi Program Penemuan Destinasi Sarawak Beyond 2026 (SBDDP2026) anjuran Business Events Sarawak (BESarawak) yang telah melabuhkan tirai pada 25 September lalu.
Program yang berlangsung selama lima hari bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 BESarawak itu berjaya menghimpunkan seramai 25 delegasi antarabangsa yang terdiri daripada wakil korporat, presiden persatuan, dan penganjur persidangan dari Portugal, Hong Kong, Australia, Filipina, Singapura, serta Malaysia.
Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, kekuatan sektor acara perniagaan negeri ini bukan sekadar terletak pada tawaran fizikalnya, tetapi melalui pengalaman langsung delegasi menyantuni masyarakat tempatan.
” Keunikan Sarawak bukanlah semata-mata budaya, alam semula jadi, pengembaraan, makanan atau festival. Ia adalah peluang bagi kumpulan acara perniagaan menyelami nilai-nilai kehidupan dan kebersamaan bersama komuniti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Rangkaian White Rajah di Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke pada 24 September lalu.
Bagi menterjemahkan matlamat integrasi komuniti itu, para delegasi SBDDP2026 meluangkan masa menyantuni golongan belia kelainan upaya intelek daripada perusahaan sosial Heart Treasures Kuching menerusi sesi terapi seni yang interaktif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo menegaskan bahawa nilai penganjuran sesebuah acara perniagaan perlu menjangkaui sekadar lawatan, sebaliknya harus membawa sumbangan langsung kepada destinasi persinggahan.
“Apabila kita menghubungkan kumpulan acara perniagaan dengan komuniti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau perusahaan sosial, ia mesti dilakukan dengan penuh rasa hormat bagi memastikan penglibatan tersebut mencipta nilai dan manfaat kepada komuniti terbabit,” jelasnya.







