SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) tidak mencampuri urusan pentadbiran Negeri Sembilan, khususnya berkaitan institusi diraja dan adat di negeri itu sebaliknya hanya menjawab persoalan yang dibangkitkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kedudukan parti itu sebagai pembangkang Negeri Sembilan tidak bermakna parti itu mengambil kesempatan terhadap sebarang isu berkaitan takhta, adat dan pemerintahan negeri.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pihaknya hanya memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakan kerajaan negeri dan tidak mempunyai niat untuk mencampuri urusan yang berada dalam bidang kuasa pentadbiran negeri atau institusi berkaitan.
“Kalau di peringkat Pusat, kita (PH) masih kerajaan. Kalau di negeri memanglah kita pembangkang.
“Tetapi kita hanya menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Aminuddin berpandangan, tidak wajar dan adil untuk BN meletakkan semua permasalahan kepada kerajaan terdahulu tanpa pihak yang pernah mentadbir negeri itu diberikan ruang untuk menjelaskan kedudukan sebenar.
Katanya, peranan PH di peringkat negeri adalah sebagai pembangkang yang bertanggungjawab untuk memberikan respons terhadap isu pentadbiran yang dibangkitkan, bukannya mencampuri urusan institusi diraja dan adat Negeri Sembilan.
“Jadi kita kena jawab (tuduhan yang dilemparkan kerajaan negeri baharu).
“Takkan saya mahu biarkan semua permasalahan itu diserahkan kepada Kerajaan terdahulu tanpa saya memberikan jawapan saya sendiri,” katanya.
Terdahulu, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menggesa parti politik pembangkang supaya tidak mengambil kesempatan dengan kemelut takhta serta urusan adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan bersama, mereka meminta semua pihak luar yang tidak mempunyai kaitan dengan hal adat Melayu dan pemerintahan negeri, khususnya parti politik pembangkang, supaya tidak “menaguk di air keruh” dengan memutarbelitkan fakta sehingga mengeluarkan komen yang disifatkan jelek terhadap Kerajaan Negeri, Institusi Adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.
Menurut mereka, tiada mana-mana parti politik mempunyai kuasa untuk menurunkan mana-mana Raja, sebaliknya kuasa berkenaan diperuntukkan kepada pihak yang sah dan dalam konteks Negeri Sembilan adalah prerogatif Undang Yang Empat.





