
NILAI – Program MADANI Kita (PMK) bersama Komuniti Labu@Rasah di Dewan Orang Ramai Desa Cempaka, di sini hari ini, mencatat kehadiran hampir 3,000 orang, sekali gus melepasi sasaran awal 1,000 orang.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin tempatan dan komuniti setempat dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, sokongan dan kehadiran masyarakat menjadi antara faktor utama kejayaan PMK yang menyediakan pelbagai perkhidmatan serta pengisian untuk komuniti.
“Tanpa bantuan dan sokongan semua, program ini tidak akan jadi. Tahniah kepada semua dan tepukan kepada semua agensi yang terlibat, yang saya mampu sebut dan yang tidak mampu saya sebut.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, terutama pemimpin tempatan dan paling saya hargai semua warga Nilai yang dapat hadir hari ini,” katanya ketika merasmikan PMK di Dewan Orang Ramai Desa Cempaka, di sini, hari ini.
Mohd Hisyamuddin berkata, jumlah kehadiran yang memberangsangkan itu turut menunjukkan sambutan positif masyarakat terhadap program berkenaan.

Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil usaha keras semua pihak yang terbabit dalam memastikan PMK dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Setakat ini kita sudah capai 2,704 orang. Tahniah kepada semua yang terlibat. 2,704 orang, pecah rekod yang ditetapkan oleh , iaitu 1,000 orang untuk program daripada pagi sampai petang.
“Tahniah, usaha keras anda membuahkan hasil,” katanya.
PMK Labu@Rasah menyediakan pelbagai pengisian untuk komuniti setempat, antaranya khidmat jabatan dan agensi kerajaan, pameran agensi, khidmat nasihat serta penerangan mengenai inisiatif MADANI.
Program itu turut menawarkan saringan kesihatan, kejohanan e-sukan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Penganjuran PMK juga menjadi platform untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat selain memberi ruang kepada komuniti mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan daripada agensi yang terlibat.



