SHAH ALAM – Kerajaan bakal menyediakan peruntukan paling tertinggi dalam sejarah negara bagi pembangunan Bumiputera menerusi Belanjawan 2027 yang dijangka akan dibentangkan pada Oktober.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut bukan agenda politik serpihan, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan memastikan kepentingan Melayu dan Bumiputera terus diberi perhatian.
Menurut beliau, peruntukan terbabit akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan Melayu serta bumiputera, termasuk menerusi agensi berkaitan.
“Saya nak buktikan dalam Kerajaan Madani, perhatian terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, sosial, pendidikan jauh lebih tinggi daripada mana-mana pembentangan sebelum ini.
“Ini bukan agenda politik serpihan dalam agenda politik nasional, tak boleh sampingkan pinggirkan kepentingan majoriti atau kepentingan Bumiputera melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam, pada Sabtu.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan peningkatan peruntukan mesti disusuli tatakelola yang lebih ketat bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk manfaat rakyat.

“Apa bezanya? Bezanya saya lebih keras dalam memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan kepada agensi Melayu dan Bumiputera tidak boleh dikhianati atau disakau oleh sesiapa,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, peruntukan pendidikan khususnya bagi Melayu dan Bumiputera melalui UiTM turut meningkat kepada RM3.08 bilion tahun ini berbanding RM2 bilion bagi dua tahun sebelumnya.
Justeru, beliau memberi peluang kepada Persatuan Alumni UiTM memilih antara tujuh hingga 10 ahlinya untuk menilai program utama agensi Bumiputera, termasuk UiTM.
“Langkah itu penting bagi membolehkan pandangan dan cadangan daripada alumni digunakan untuk memperbaiki serta memperkukuh keupayaan institusi dan agensi terbabit.
“Belum pernah dalam sejarah dalam negera ini sejak merdeka, memberikan amanah secara langsung kepada mana-mana alumni dalam menilai prestasi dan peranan tersebut.
“Beri pandangan, cadangan dan saya jamin insya-Allah, kita akan berikan perhatian sebaik mungkin untuk ditingkatkan keupayaan kita,” katanya.



