
NILAI – Program MADANI Kita (PMK) yang dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), menjadi platform memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat.
Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, program itu bukan sekadar menghimpunkan masyarakat, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat menyuarakan masalah dan mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada agensi kerajaan.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan membolehkan JKOM mengumpulkan maklum balas masyarakat di peringkat akar umbi sebelum disampaikan kepada kepimpinan negara dan menteri berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Apabila saya berada di JKOM, saya mahu suara rakyat di bawah disampaikan kepada pemimpin nombor satu negara. Apabila berjumpa rakyat, perkara pertama saya tanya ialah masalah mereka.
“Selepas program ini, kita akan meminta agensi terbabit mengisi borang maklum balas mengenai masalah yang diterima sebelum mengumpulkan dan menyampaikannya kepada kepimpinan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PMK bersama Komuniti Labu@Rasah di Dewan Orang Ramai Desa Cempaka, di sini, hari ini.

Mohd Hisyamuddin berkata, pendekatan penganjuran PMK turut diubah suai bagi memastikan program itu memberi tumpuan kepada penglibatan langsung komuniti dan pemimpin masyarakat, selain menyediakan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan penduduk.
Katanya, antara pengisian disediakan termasuk jualan Rahmah MADANI, penukaran minyak motosikal secara percuma, gunting rambut percuma dan pemberian anak pokok kepada masyarakat.
Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyediakan perkhidmatan menukar topi keledar lama kepada baharu, manakala program pertukaran al-Quran lama kepada baharu turut diadakan.
Beliau berkata, penyertaan agensi kerajaan dalam program itu membolehkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan khidmat nasihat secara terus, termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apabila saya bertanya kepada JKM, hampir 30 orang sudah mendaftar untuk mendapatkan bantuan bulanan. Ini menunjukkan program seperti ini membolehkan agensi kerajaan benar-benar mendekati dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan penduduk termasuk kenaikan kos sara hidup, harga barang serta kebimbangan terhadap kandungan tidak bermoral di media sosial yang boleh menjejaskan perkembangan golongan muda.
Katanya, terdapat penduduk yang meminta kerajaan mengambil tindakan lebih serius dalam memantau kandungan sedemikian, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pengaruh negatif.
“Antara aduan yang diterima ialah permintaan supaya kerajaan lebih serius memantau kandungan tidak bermoral di media sosial kerana ia boleh merosakkan akal dan jiwa anak muda, terutama mereka yang masih bersekolah,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran PMK akan diteruskan di beberapa lokasi lain, termasuk Kota Anggerik di Shah Alam, Pulau Pinang, Masjid Tanah dan Tangga Batu di Melaka serta Indera Mahkota di Pahang.



