
PADANG BESAR – Pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di Perlis berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit dengan lebih 86 peratus daripada mereka dapat bertemu doktor dalam tempoh kurang sejam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hampir 62.8 peratus pesakit pula dapat bertemu doktor dalam tempoh kurang 30 minit sejak inisiatif itu dilaksanakan sebagai projek rintis di negeri ini kira-kira empat bulan lalu.
Menurutnya, lebih 200,000 pesakit di Perlis sudah menerima manfaat daripada pelaksanaan sistem berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
“Lebih 86 peratus daripada pesakit yang datang dapat bertemu dengan doktor dalam tempoh kurang 60 minit manakala hampir 62.8 peratus dapat bertemu doktor dalam tempoh kurang 30 minit.
“Ini satu peningkatan yang baik berbanding di peringkat kebangsaan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan PERSADA di Klinik Kesihatan Padang Besar di sini hari ini.

Fahmi berkata, PERSADA turut menyokong pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) yang membolehkan rekod kesihatan pesakit diakses dengan lebih mudah oleh doktor merentasi fasiliti kesihatan.
Katanya, sistem itu dapat mempercepat proses pendaftaran selain mengurangkan kebergantungan kepada rekod fizikal pesakit sebelum rawatan diberikan.
Beliau berkata, projek rintis di Perlis akan menjadi asas sebelum PERSADA diperluaskan ke negeri lain dan seterusnya ke seluruh negara.
Dalam pada itu, sebanyak 17 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Perlis turut diintegrasikan dengan beberapa perkhidmatan telekesihatan.
Katanya, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis mempunyai sekurang-kurangnya sebuah NADI dan kemudahan itu berpotensi menawarkan saringan rutin serta perkhidmatan kesihatan tertentu lebih dekat dengan komuniti.
Fahmi berkata, kerjasama antara NADI, klinik kesihatan dan klinik desa akan diperkukuhkan bagi mengurangkan keperluan pesakit bergerak jauh untuk mendapatkan perkhidmatan tertentu.
Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi PERSADA termasuk tambahan RM350 juta bagi memperkukuh ketersambungan, sistem digital dan infrastruktur sokongan rangkaian kesihatan awam di seluruh negara.






