
SEREMBAN – Polis mengesahkan kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mendatangkan kecederaan di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Jumaat.
Ketua Polis Negeri Sembilan berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Pilah selepas kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam di sebuah asrama sekolah di daerah berkenaan.
Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan.
Menurut polis, siasatan sedang dijalankan bagi meneliti semua fakta dan bukti untuk mengenal pasti punca serta motif sebenar kejadian.
Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Abd Malek Abd Ghani meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi susulan pelbagai maklumat berkaitan kejadian yang tersebar di media sosial.
“Saya minta orang ramai bersabar kerana siasatan sudah bermula dan kita semua perlu berhati-hati dengan hantaran di media sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abd Malek berkata, SMK Za’ba merupakan Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang mempunyai kira-kira 315 pelajar dan menawarkan beberapa acara sukan termasuk bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, bola jaring dan memanah.
Menurutnya, mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, merupakan atlet muda sekolah dalam acara memanah.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kes buli dilaporkan berlaku di asrama sekolah berkenaan setakat tahun ini.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar terbabit.






