
PARIT – Dua pelajar lelaki masing-masing berusia 13 dan 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit di sini, pada Jumaat, selepas didakwa mencederakan seorang pelajar berusia 13 tahun menggunakan seterika panas di sebuah maahad tahfiz, minggu lalu.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa menggunakan sebuah seterika, iaitu alat yang boleh mendatangkan kecederaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4 petang pada 19 September lalu di sebuah maahad tahfiz al-Quran di daerah Perak Tengah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Jayasri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadrah Badarudin.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Kes berkenaan terbongkar selepas seorang doktor membuat laporan polis pada Isnin lalu selepas merawat mangsa yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua pada bahagian dada.
Berdasarkan keterangan mangsa, dua rakannya didakwa menekapkan seterika panas pada bahagian dadanya sehingga menyebabkan kecederaan tersebut.
Terdahulu, polis menahan kedua-dua pelajar berkenaan susulan laporan yang dibuat selepas mangsa mendapatkan rawatan.
Foto: Bernama



