
MUKAH – Seramai 103 petani dan pekebun kecil di daerah Mukah menerima Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) Fasa 4 Tahun 2026 bagi membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti hasil tanaman mereka.
Majlis penyerahan input pertanian tersebut disempurnakan secara bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan ADUN Balingian, Dr Abdul Yakub Arbi di Stor Pejabat Pertanian Daerah Mukah, pada Jumaat.
Menyambut baik inisiatif berterusan daripada Jabatan Pertanian itu, Royston berkata penyaluran bantuan berkenaan amat signifikan dalam menyokong golongan sasar mendepani cabaran kos pengeluaran semasa.
“Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan pekebun kecil, malah ia berupaya memacu produktiviti pertanian tempatan agar terus berkembang maju menjadi sumber pendapatan yang mampan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru para petani di kawasan berkenaan yang masih belum mendaftarkan diri, agar segera berbuat demikian menerusi platform Sistem e-Tani.
Jelasnya, pendaftaran pangkalan data yang sistematik itu amat penting bagi memastikan tiada golongan sasar yang tercicir daripada kelancaran urusan pengagihan bantuan pada masa akan datang.
Langkah itu juga, tambahnya, bakal memudahkan para pekebun untuk mendapatkan akses langsung kepada khidmat nasihat, pemindahan teknologi, dan pelbagai program sokongan kerajaan secara berterusan.



