
LAHAD DATU – Dua penjawat awam yang ditahan SPRM Sabah selepas disyaki mengemukakan dokumen matan palsu berjumlah kira-kira RM30,000 akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, pada Khamis.
Tuntutan itu bagi memperoleh elaun tugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana yang dipercayai dilakukan antara 2022 hingga 2023.
Terdahulu, kedua-dua suspek lelaki lingkungan umur 30 dan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 10 pagi 17 September lalu ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.



