
KUALA LUMPUR – Permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bermula hari ini, membabitkan semua kategori pengundi yang layak.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, semua permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian menerusi portal MySPR, manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kemudian.
“Pemilih yang layak dan berhasrat mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan itu membabitkan Kategori 1A yang merangkumi anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.
Katanya, permohonan turut dibuka bagi Kategori 1B untuk warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C membabitkan agensi atau organisasi.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut berkaitan permohonan undi pos boleh diajukan kepada SPR menerusi talian 03-88927080 atau e-mel SPR.
Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum, turut menyerahkan notis pembubaran itu kepada SPR semalam.
Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada 20 November 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.
Penggal DUN Melaka sepatutnya berakhir pada 27 Disember ini.


