
PAPAR – Sebanyak 90 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan ini, bagi menyediakan habitat hidupan laut dan mewujudkan kawasan tangkapan yang lebih produktif untuk nelayan setempat.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tukun berkenaan ditempatkan berhampiran pesisir Kampung Kuala, Kampung Pengalat Besar dan Kampung Beringgis, serta boleh dimanfaatkan nelayan dari kampung sekitar.
“Pelaksanaan projek ini amat bermakna kerana merupakan antara perkara yang pernah saya kemukakan dan susuli bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Sabah.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi untuk memperkaya sumber perikanan serta membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan komuniti nelayan di Papar,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.
Menurut Armizan, beliau mengemukakan permohonan peruntukan bagi projek itu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, melalui surat bertarikh 21 Januari lalu.
“Rekod Jabatan Perikanan Sabah menunjukkan projek tukun tiruan terakhir di perairan Papar dilaksanakan pada 2010, melibatkan 18 unit tukun dan komuniti nelayan di lima kampung.

“Setelah lebih 15 tahun, terdapat kemungkinan besar tukun tersebut telah tenggelam atau tertimbus dan tidak lagi berfungsi secara optimum,” katanya.
Tambahnya, tukun baharu tersebut merangkumi tukun ikan, sotong dan udang kara yang disediakan mengikut kesesuaian sumber marin. Armizan turut merakamkan penghargaan kepada LKIM kerana merealisasikan projek berkenaan.
Armizan tidak dapat menghadiri program pelabuhan tukun itu kerana mempunyai urusan rasmi di Putrajaya dan diwakili Setiausaha Sulitnya, Datuk Roslie Ibrahim.






