
LAHAD DATU – Dakwaan sudah ‘berkahwin kampung’ tidak dapat melepaskan sepasang kekasih daripada dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah hotel di daerah ini, Isnin lepas.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memaklumkan, pasangan berumur 28 dan 19 tahun ditahan semasa berada berdua-duaan di dalam sebuah bilik hotel.
“Ketika pemeriksaan, pasangan berkenaan mendakwa mereka telah ‘berkahwin kampung’, namun hasil semakan lanjut mendapati dakwaan itu tidak benar dan mereka tidak pernah melangsungkan perkahwinan.

“Kedua-duanya kemudian ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 84, iaitu kesalahan khalwat, di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Sabah).
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut JHEAINS, pada Rabu.
Terdahulu, operasi Ops Cegah Jenayah Syariah diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Ustaz Rahim Yahya Abd. Rahman, bersama 20 pegawai penguat kuasa JHEAINS Sabah dilakukan di beberapa hotel penginapan sekitar Bandar Sri Perdana dan Pekan Lahad Datu.



