MARAN – Penampilan istimewa kontinjen Orang Asli mencuri tumpuan pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jengka, yang berlangsung hari ini.
Kontinjen seramai 20 orang berusia antara 14 hingga 43 itu adalah masyarakat Orang Asli suku Semaq Beri yang menetap di Kampung Bangkong, dekat Jerantut.
Mereka bersama kira-kira 1,000 peserta lain memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jengka yang bermula di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kira-kira jam 8 pagi.
Sebanyak 53 kontinjen terdiri daripada wakil dari FELDA sekitar Wilayah Jengka, pelajar sekolah dan agensi kerajaan menyertai sambutan itu.
Setiap kontinjen berarak dari stadium berkenaan dan perarakan sejauh hampir 2 kilometer itu berakhir di Dewan Balora Mastika.
Majlis sambutan dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan Kadi Daerah Jengka, Mohd Farik Jamaluddin.
Turut serta Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud.
Sementara itu, Syed Ibrahim memaklumkan, program berkenaan menjadi medan penting dalam menanamkan rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW.
Selain itu, kejayaan penganjuran sambutan berkenaan juga menunjukkan semangat kebersamaan yang baik dalam kalangan masyarakat.
“Sudah tentu ia memberi suntikan semangat kepada semua peserta dan walaupun jaraknya dari stadium ke dewan ini lebih kurang 2 kilometer, namun semua (peserta) menyelesaikan tugasan itu dengan penuh semangat,” katanya.
Dalam pada itu, Razak menjelaskan sambutan itu pada asalnya dicadangkan di stadium, namun diubah selepas mengambil kira pelbagai faktor.
“Antara yang kita pertimbangkan adalah keadaan jerebu yang masih melanda negara dan seterusnya keselesaan peserta.
“Kita risau sebab beberapa hari lalu, berlaku hujan di sekitar Jengka, jadi kita fikir baik kita buat sambutan dalam dewan.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik dan peserta juga boleh berehat dalam dewan dengan keadaan lebih selesa,” katanya.


