
KOTA KINABALU – China Eastern Airlines merancang meningkatkan kekerapan penerbangan Shanghai–Kota Kinabalu kepada dua hingga tiga kali sehari, selain meneroka pembukaan laluan terus Beijing–Kota Kinabalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, rancangan itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Jualan syarikat penerbangan berkenaan, Yang Chun Fei, di pejabat China Eastern Airlines pada Selasa.
“Shanghai merupakan pintu masuk penting ke Sabah. Peningkatan kekerapan kepada dua atau tiga penerbangan sehari akan menyediakan kapasiti lebih besar dan pilihan perjalanan lebih fleksibel kepada pelancong.
“Laluan terus Beijing–Kota Kinabalu pula akan membuka satu lagi pintu masuk utama dan memperkukuh hubungan udara Sabah dengan China.
“Tumpuan kami jelas, iaitu menambah hubungan penerbangan terus, meningkatkan kekerapan penerbangan dan memudahkan perjalanan ke Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jafry, pengukuhan hubungan udara secara terus penting bagi menyokong persiapan negeri itu menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027.
“China kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pelancongan Sabah dengan 578,681 ketibaan pelancong direkodkan dalam lapan bulan pertama 2026, meningkat 21.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“China Eastern Airlines turut mengendalikan sehingga tiga penerbangan sehari bagi laluan Shanghai–Kota Kinabalu sepanjang musim puncak perjalanan musim panas tahun ini,” kongsinya.
Tambah Jafry, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi memperkukuh laluan sedia ada, meningkatkan kapasiti dan membuka laluan baharu ke Sabah, sekali gus memperluas peluang kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan, restoran, pengusaha tarikan pelancongan serta perniagaan tempatan.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai serta wakil Lembaga Pelancongan Sabah.




