
Oleh: Zurini
BATU KAWA – Majlis Perbandaran Padawan (MPP) melancarkan Program Kesedaran bagi Promosi Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2024.
Program dirasmikan oleh Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan penting persekitaran yang bersih dan sihat dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang juga sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, MPP ingin menekankan kepentingan mengintegrasikan promosi kesihatan dengan inisiatif lestari alam sekitar.
Ujar beliau, melalui program komuniti yang dilancarkan dapat memperkasa individu untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat sambil menyumbang kepada perlindungan alam sekitar.
Dalam ucapannya juga, Tan Kai turut mengumumkan pengaktifan semula dua inisiatif utama iaitu ‘No Single use Plastic Bag’ dan ‘No Styrofoam Food Containers’ dengan kerjasama pemilik perniagaan dan pengusaha makanan yang berada di Padawan.
“Kedua-dua usaha ini adalah langkah kritikal ke arah mengurangkan sisa plastik dan memupuk komuniti yang lebih mampan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Tan Kai turut menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang Premis Makanan Bersih MPP 2024 dan Tandas Bersih, Menawan, Wangi (BMW) 2024 yang masing-masing dimenangi oleh Tai Hua Tea House dan Emart Realty (Kuching) Sdn Bhd.





