
KUCHING – Kementerian Komunikasi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu bagi memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, kejayaan edisi kali ini adalah manifestasi komitmen padu serta sinergi erat antara peringkat persekutuan dengan negeri.
Beliau memuji usaha berterusan jawatankuasa penganjuran di bawah pimpinan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Pastinya dengan doa semua pihak, perjalanan majlis ini dapat berlangsung dengan lancar, khususnya apabila keadaan cuaca juga mengizinkan.
“Ini memberikan satu petanda yang sangat positif bahawa perjalanan sambutan Hari Malaysia 2026 yang membawa tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dapat dijayakan dengan sempurna,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Sarawak yang hadir memeriahkan suasana di BCCK bagi meraikan hari bersejarah pembentukan negara.






