REALITI memimpin Malaysia ketika ini tidak sama dengan gambaran perjuangan Reformasi yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kerajaan hari ini merupakan kerajaan campuran yang memerlukan rundingan dengan pelbagai parti politik.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, selepas mengambil alih kerajaan, keutamaan pertama bukan untuk melakukan tindakan menentang pihak tertentu tetapi mengukuhkan ekonomi negara.
“Sebenarnya, Keadilan dan Harapan itu, 81 dari 222. Jadi, saya kena runding dengan parti-parti besar yang lain. Antara parti yang perlu dirunding termasuk UMNO-Barisan Nasional, GPS dan GRS selain parti dalam Pakatan Harapan (PH).
“Bukan nak menentang. Kukuhkan ekonomi,” katanya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia di Facebook rasminya, pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ketika kerajaan mengambil alih, Malaysia baru melalui pandemik Covid-19 dengan kehilangan pekerjaan, pelaburan terjejas dan keadaan ekonomi yang sukar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan kemudian memberi tumpuan kepada kestabilan politik bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
“Kita buat dasar-dasar perindustrian baharu, dasar pelaburan tenaga, dasar untuk teknologi maklumat dan AI (kecerdasan buatan),” katanya.
Anwar turut menyenaraikan bantuan kepada rakyat termasuk STR dan SARA, selain peruntukan membaiki sekolah, tandas serta kuarters anggota keselamatan.
“Orang yang paling miskin… yang makan tak tentu. Bayangkan saya nak hidup selesa, kemudian orang susu anak belum tentu.
“Sebab itu kita bagi SARA, STR,” katanya.
Anwar berkata, perubahan juga berlaku di Parlimen melalui pelaksanaan Prime Minister’s Question Time yang membolehkan Perdana Menteri berdepan soalan secara langsung.
“Mana pernah ada Perdana Menteri itu orang tanya. Bam, bam, bam, balun. Satu jam,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Saya mampu ditegur. Saya banyak ditegur,” katanya.



