PUTRAJAYA – Langkah UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan perlu dipersoalkan sama ada benar-benar berlandaskan kehendak rakyat atau mempunyai motif tertentu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, agenda itu bagi mengelakkan lebih ramai pemimpin parti itu dan komponen Barisan Nasional (BN) terjerat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, tiada keperluan untuk PRU16 diadakan lebih awal kerana tempoh pemerintahan Kerajaan MADANI hanya akan berakhir pada November 2027.
“Kerajaan ketika ini sedang menguruskan negara dengan baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Motif UMNO untuk mendesak PRU disegerakan tidak mempunyai alasan yang kukuh selain daripada kerakusan mendapatkan kuasa dan ketakutan mereka sekiranya lebih ramai pemimpin BN akan dihadapkan ke mahkamah atas kecurangan pentadbiran mereka yang lalu.
“Justeru, AMK berpegang teguh atas pendirian Kerajaan MADANI yang mahu menamatkan penggal pemerintahan selama lima tahun dengan usaha keras yang berterusan untuk membaik pulih negara dengan dasar-dasar ekonomi dan sosial yang mampu, selain kempen anti sakau,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Beberapa hari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan.
Ahmad Zahid turut memberi isyarat bahawa UMNO bersedia membentuk kerjasama politik baharu apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’.
Malah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki turut berkata, UMNO berpandangan PRU16 wajar disegerakan kerana tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini sudah memasuki “edah pilihan raya”.
Katanya, “edah pilihan raya” merujuk tempoh selepas tiga tahun sesuatu kerajaan mentadbir yang membolehkan pilihan raya diadakan, meskipun tempoh maksimum lima tahun bagi sesuatu Parlimen masih belum berakhir.
Bagaimanapun, langkah itu dipersoalkan Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairuddin.
Beliau berkata, Ahmad Zahid perlu membersihkan namanya di mahkamah terlebih dahulu sebelum bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas PRU16 yang akan datang.
Danish berkata, umum masih maklum terdapat proses perundangan berkaitan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) berkaitan kes Yayasan Akal Budi terhadap Presiden UMNO itu.
Jelasnya, Mahkamah Persekutuan dijadualkan pada 8 Oktober ini untuk mendengar permohonan beliau dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam prosiding berkaitan cabaran Badan Peguam terhadap keputusan tersebut.







