
MIRI – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Miri tampil mengecam keras tindakan pihak tertentu yang mengeksploitasi institusi keagamaan Kristian, termasuk watak paderi dan biarawati, sebagai bahan jenaka berunsur seksual ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini.
Ketua AMK Miri, Christopher Jemat Amie menyifatkan insiden tersebut sebagai amat mengecewakan, apatah lagi ia berlaku secara terbuka di atas pentas rasmi sebuah parti politik nasional dan bukannya dalam perbualan peribadi.
Tegas beliau, perbezaan fahaman atau perseteruan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina serta mempermainkan kesucian agama dan kepercayaan mana-mana pihak di negara ini.
“Kalau mahu menyerang lawan politik, seranglah dasar dan prestasi mereka. Jangan gunakan agama sebagai bahan lawak semata-mata untuk meraih tepukan dan sorakan khalayak.
“Kebebasan bersuara bukanlah satu lesen untuk mempermainkan kepercayaan orang lain,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Selasa.
Christopher menegaskan bahawa setiap naratif yang dilontarkan di pentas rasmi mencerminkan imej parti serta kualiti moral pemimpin berkenaan.
Justeru, beliau menuntut agar parti UMNO mengambil kebertanggungjawaban penuh dan tidak menormalisasikan penghinaan agama atas alasan ‘sekadar gurauan’.
Dalam pada itu, beliau menempelak tindakan segelintir ahli politik yang ketandusan idea, sambil mengingatkan mereka agar mengalihkan wacana kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup masyarakat seperti pemerkasaan ekonomi, bebanan kos sara hidup, pendidikan, dan penciptaan peluang pekerjaan.
Susulan kelancangan tersebut, beliau secara lantang mendesak kepimpinan UMNO untuk mempertimbangkan permohonan maaf secara terbuka bagi memulihkan keharmonian.
“Agama bukan bahan jenaka, bukan modal politik, dan bukan senjata untuk meraih populariti.
“Kalau politik sudah sampai ke tahap sanggup menjadikan agama sebagai bahan gurauan demi sorakan, kita perlu bertanya ke mana sebenarnya hala tuju politik Malaysia yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.






