
KOTA KINABALU – Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika bagi menyokong pemikiran inovatif tanpa mengabaikan keupayaan berfikir secara kritis.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kemajuan teknologi menuntut mahasiswa menggunakan kemudahan digital sebagai pemangkin kepada pembelajaran dan pemikiran baharu, bukannya sebagai jalan pintas.
“Mahasiswa juga perlu menjaga adab ketika menggunakan media sosial dengan mengelakkan penyebaran maklumat palsu, fitnah atau kandungan yang boleh mencemarkan reputasi diri dan universiti.
“Gunakan kemudahan digital dan teknologi terkini sebagai pemangkin pemikiran inovatif, bukannya sebagai jalan pintas yang merosakkan keupayaan berfikir secara kritis,” katanya semasa berucap pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 Kali Ke-32 di Dewan Canselor UMS, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Kasim mengingatkan mahasiswa supaya tidak mengabaikan adab ketika menggunakan media sosial, terutama dalam berdepan lambakan maklumat di ruang digital.
“Jagalah adab di media sosial. Elakkan menyebarkan maklumat palsu, fitnah atau perkara yang boleh mencemarkan reputasi diri dan universiti.
“Jadilah mahasiswa yang dahagakan ilmu pengetahuan, berfikiran kritis, dan sentiasa mencari kebenaran melalui penyelidikan dan pembacaan yang mendalam,” katanya.
Terdahulu, seramai 6,171 pelajar ditawarkan pengajian prasiswazah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2026/2027.
Daripada jumlah itu, seramai 5,251 pelajar mendaftar di Kampus Kota Kinabalu, 698 pelajar di Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), manakala 222 pelajar lagi di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.





