
KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan membuat laporan polis berhubung ucapan seorang pemimpin UMNO yang didakwa menyentuh agama Kristian dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang menyentuh tentang paderi, biarawati dan kitab Bible.
“PKR Sabah akan membuat laporan polis berhubung insiden ini dan menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.
“Tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang wajar diambil agar insiden sebegini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Peto, pemimpin perlu lebih berhati-hati ketika menyampaikan ucapan, terutama membabitkan perkara sensitif berkaitan kaum dan agama dalam sebuah negara majmuk.
“Perbuatan tersebut langsung tidak sensitif terhadap masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Ia tidak mencerminkan kematangan yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia,” katanya.
Tegasnya, agama tidak seharusnya dijadikan bahan untuk meraih sokongan politik kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian masyarakat yang dibina sejak sekian lama.
“Agama bukan bahan jenaka politik. Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibina selama ini tidak boleh diperjudikan hanya kerana mahu mendapatkan sorakan atau laba politik sementara.
“Jangan apabila masyarakat sudah marah dan mengecam, barulah masing-masing mahu memberikan penjelasan atau memohon maaf.
“Bukan sudah terhantuk baru tengadah. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.
Walau bagaimana pun, pada Isnin, Ketua UMNO Bahagian Sepang itu membuat permohonan maaf di laman sosialnya selepas menerima desakan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.







