KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Keralam, V D Satheesan hari ini membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan negeri di selatan India itu.
Perbincangan itu berlangsung ketika Satheesan mengadakan kunjungan hormat terhadap Anwar di Calicut, di sini, bersempena lawatan kerja Perdana Menteri ke India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18, selain menjadi lawatan sulung beliau ke Keralam sebagai Perdana Menteri.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha mempererat kerjasama dalam ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan serta sektor bernilai tinggi lain yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang memperluas sektor pelancongan dan perniagaan, di samping meningkatkan pertukaran pengalaman antara rakyat Malaysia dan Keralam bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengundang Satheesan untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama dua hala.
Pertemuan berkenaan adalah antara agenda lawatan kerja Anwar ke India yang turut merangkumi pertemuan dengan komuniti perniagaan Keralam serta pihak berkepentingan utama lain.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi, Anwar tiba di Calicut pada Ahad bagi meneruskan peringkat kedua dan terakhir lawatan kerja beliau ke negara itu.




