
KULIM – Kerajaan Perpaduan ketika ini belum lagi memasuki tempoh ‘idah’ untuk membubarkan parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggal parlimen ke-15 hanya bermula selepas ahli parlimen mengangkat sumpah pada Februari 2023.
Justeru, tempoh lima tahun itu hanya akan tamat pada Februari 2028.
“Kalau dikatakan idahnya sudah sampai, itu tidak tepat. Lima tahun itu bermula pada tarikh ahli parlimen angkat sumpah, iaitu Februari 2023.
“Sekarang September 2026, mana ada idah. Belum lagi,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sua Mesra Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Khidmat Parlimen Kulim, di sini, petang semalam.
Saifuddin mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak PRU16 segera diadakan kerana kononnya kerajaan sudah memasuki ‘idah’ pilihan raya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tempoh berbaki lebih setahun itu masih memadai untuk kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Kita manfaatkan sebaik mungkin. Setahun lebih itu lumayan untuk saya tolong rakyat, bantu rakyat, makmurkan ekonomi dan stabilkan politik.
“Jadi kita fokus jaga kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat berbanding mencadangkan pilihan raya dibuat,” ujarnya.
Ditanya mengenai kuasa membubarkan parlimen, Saifuddin memaklumkan perkara itu terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri faham. Beliau menerajui kerajaan gabungan pelbagai parti. Saya fikir beliau akan ambil kira semua,” ujarnya.
Beliau menyifatkan kenyataan Asyraf Wajdi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai pandangan biasa pemimpin parti.
“Saya pernah duduk dalam UMNO. Saya faham. Mereka kena bercakap ikut minat dan perkara yang ahli UMNO beri perhatian,” katanya.





