
IPOH – Pemuda Parti Amanah Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti sumber kekayaan yang dikaitkan dengan anak-anak bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, susulan rekod hampir RM12 juta dalam empat akaun simpanan Tabung Haji yang didakwa terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 4 Mac 2021.
Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim berkata, jumlah simpanan tersebut menimbulkan persoalan yang wajar dijawab secara telus, khususnya kerana ia membabitkan ahli keluarga individu yang pernah memegang kedudukan penting dalam institusi yang menguruskan amanah jutaan umat Islam.
Menurut beliau, empat akaun berkenaan masing-masing merekodkan simpanan sekitar RM2.932 juta, RM2.982 juta, RM3.012 juta dan RM3.053 juta, menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM12 juta.
“Ini bukan angka yang muncul daripada hantaran media sosial atau khabar angin politik. Ia direkodkan dalam dokumen berkaitan prosiding pelucuthakan harta di Mahkamah Tinggi pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Khairol berkata, persoalan utama yang timbul ialah dari mana datangnya sumber kewangan berjumlah jutaan ringgit tersebut dan sama ada ia mempunyai penjelasan yang sah serta munasabah.
Beliau bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak menganggap pemilikan kekayaan sebagai satu kesalahan, selain tidak wajar seseorang dihukum hanya kerana mempunyai keluarga yang berada.
“Apabila jumlahnya begitu besar dan melibatkan keluarga seorang individu yang pernah memegang kedudukan penting dalam institusi yang menguruskan amanah jutaan umat Islam, penelitian sewajarnya adalah demi kepentingan awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pelbagai gambar yang memaparkan gaya hidup mewah dan kenderaan mewah yang dikaitkan dengan ahli keluarga Abdul Azeez dan beredar di media sosial.
Bagaimanapun, katanya, gambar-gambar berkenaan tidak boleh dengan sendirinya dianggap sebagai bukti berlakunya sebarang kesalahan, sebaliknya ia hanya menambahkan persoalan awam yang perlu dijawab berdasarkan fakta.
“Jika semuanya datang daripada sumber pendapatan dan perniagaan yang sah, jelaskan dan bersihkan nama mereka.
“Jika terdapat transaksi yang meragukan atau sumber yang tidak dapat dijelaskan, maka siasatlah tanpa takut dan tanpa pilih kasih,” katanya.
Khairol berkata, SPRM mempunyai kepakaran serta kuasa untuk menentukan sama ada wujud perkara yang memerlukan siasatan lanjut dan pihaknya tidak meminta mana-mana individu dihukum berdasarkan persepsi.
Sebaliknya, Pemuda Amanah Perak hanya mahu persoalan berkaitan sumber kekayaan itu diteliti secara sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Gesaan itu, katanya, menjadi lebih relevan ketika Abdul Azeez kembali mendapat perhatian susulan siasatan polis berkaitan pemberian hibah Tabung Haji, yang menurut beliau secara tidak langsung menghidupkan semula persoalan lama berkaitan institusi berkenaan.
“Tabung Haji bukan institusi biasa. Di dalamnya terkumpul wang rakyat yang menyimpan sedikit demi sedikit, kadang-kadang bertahun-tahun, dengan satu impian suci untuk sampai ke Tanah Suci.
“Sebab itu setiap persoalan melibatkan mereka yang pernah diberikan amanah mengurus institusi ini mesti dijawab dengan setelus-telusnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip integriti perlu diterapkan secara sama rata tanpa mengira kedudukan seseorang.
“Kalau rakyat biasa boleh ditanya dari mana datangnya wang, mereka yang pernah berada dekat dengan kuasa juga tidak sepatutnya terkecuali,” katanya.




