
KOTA KINABALU – Friends of BHESS bakal diperkenalkan sebagai wadah memperluas kefahaman dan sokongan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penubuhan serta pelancaran inisiatif itu akan diusahakan dengan kerjasama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia.
“Inisiatif ini akan menjadi wadah untuk memperluaskan perbincangan dan perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator.
“Ia khususnya membabitkan perkara berkaitan MA63 yang memerlukan kefahaman serta sokongan di peringkat Parlimen.
“Friends of BHESS diharapkan dapat membantu membina kefahaman tersebut dengan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif, merentasi wilayah serta politik kepartian,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Menurut Mustapha, usaha itu selaras dengan persetujuan bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah untuk mengangkat MA63 sebagai naratif nasional.
“Perkara berkaitan MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada asas pembentukan dan pengukuhan Persekutuan Malaysia.
“Pelaksanaannya memerlukan kefahaman dan dukungan bersama dari seluruh negara,” katanya.
Tambahnya, penubuhan Friends of BHESS selari dengan hasrat Perdana Menteri susulan persetujuan secara prinsip Jemaah Menteri terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
“Penambahan itu akan mengambil kira nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.
“Usaha untuk merealisasikan perkara ini memerlukan proses perundangan dan sokongan yang mencukupi di Parlimen.
“Justeru, ia tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu Mustapha berkata, pengukuhan hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak turut bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya.
“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara,” tegasnya.
Perdana Menteri pada Jumaat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
Foto: Izzuddin Abd Radzak/ Pejabat Perdana Menteri Malaysia






