Keputusan had usia keahlian Puteri UMNO wajar diberi jawapan jelas

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu memberikan jawapan yang jelas terhadap tuntutan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berhubung isu had usia 35 tahun bagi ahli pergerakan itu.

Ahli MKT UMNO, Datuk Muhammad Alamin berkata, perkara berkenaan telah mendapat perhatian di peringkat kepimpinan tertinggi parti dan akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Menurut beliau, hasrat serta tuntutan sebenar Puteri UMNO akan disampaikan kepada MKT supaya persoalan yang telah lama dibangkitkan itu tidak terus tergantung tanpa penyelesaian.

“Insya-Allah malam ini kami akan sampaikan hasrat sebenar Puteri UMNO Malaysia yang meminta jawapan daripada MKT mengenai isu 35 tahun. Kami akan melaporkan dan menyampaikan hasrat serta tuntutan ini kepada MKT. Kalau benar perkara ini menjadi tuntutan Puteri, maka kita akan sampaikan laporan ini untuk mendapatkan perhatian dan tindakan selanjutnya.

“Ia memerlukan satu pengalaman yang harus dipertahankan. Jangan sampai pengalaman itu hilang hanya kerana organisasi gagal menyediakan ruang untuk meneruskannya. Bagi kami, usia bukan suatu penghalang untuk meneruskan perjuangan demi memartabatkan UMNO dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pada Khamis.

Muhammad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan, sekiranya pelbagai kajian, penyelidikan dan tinjauan telah dilakukan berkaitan isu tersebut, kepimpinan parti perlu memberikan respons yang sewajarnya terhadap persoalan yang dibangkitkan.

“Kalau dah macam-macam kajian dibuat, ‘research’ dan ‘survey’ telah dibuat, maka kepimpinan harus beri respons. MKT harus beri jawapan kepada persoalan ini.

“Jangan biarkan ia tergantung-gantung. Kita difahamkan sejak tahun lalu perkara ini sudah pun disuarakan dalam persidangan Puteri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Kimanis berkata, generasi muda hari ini lebih mementingkan isu seperti pekerjaan, perumahan, pendidikan, kemahiran, peluang ekonomi digital serta kebajikan ibu tunggal perlu diberikan perhatian serius dalam perjuangan politik UMNO.

“Ada yang bercakap soal pekerjaan, perumahan, pendidikan, kemahiran, peluang dalam ekonomi digital dan pelbagai isu lain termasuk nasib ibu tunggal. Semua ini harus diperhatikan dalam perjuangan kita.

“Generasi muda hari ini tidak mahu politik yang sentiasa hidup daripada kemarahan dan dendam. Mereka mahu melihat apa yang boleh kita tawarkan untuk kehidupan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, golongan muda mahu melihat bagaimana politik mampu membawa perubahan serta memberikan makna yang nyata kepada kehidupan mereka, bukan sekadar menawarkan slogan ketika musim pilihan raya.

“Penegasan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bahawa pergerakan tersebut perlu menjadi jambatan dan bukannya tembok pemisah, sambil menegaskan mesej berkenaan perlu dibawa keluar daripada dewan persidangan kepada masyarakat.

“Kita harus dengar suara itu dengan lebih luas. Kita harus sampaikan suara tersebut keluar supaya orang muda di luar sana tahu bahawa Puteri UMNO peduli tentang nasib mereka,” ujarnya.

Related Posts

Anak muda kini kembali yakin bersama UMNO – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Sokongan generasi muda Melayu kepada Barisan Nasional (BN) yang meningkat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan keyakinan terhadap perjuangan UMNO kembali menunjukkan perkembangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar mahu PKR Sabah perkukuh kesatuan, persiap jentera PRU

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus memperkukuh kesatuan anggota serta memperkemas persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anak muda kini kembali yakin bersama UMNO – Asyraf Wajdi

Anak muda kini kembali yakin bersama UMNO – Asyraf Wajdi

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

Pantai Timur potensi jadi destinasi pelaburan lebih besar

Pantai Timur potensi jadi destinasi pelaburan lebih besar

United buka kempen Liga Juara-Juara, tewaskan juara Azerbaijan 4-0

United buka kempen Liga Juara-Juara, tewaskan juara Azerbaijan 4-0

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan