
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira jam 4 petang tadi itu diadakan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026) sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Difahamkan, pertemuan berkenaan turut disertai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pertemuan itu dilaksanakan susulan susulan pendirian Ahmad Zahid sebelum ini yang mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada Ismail berhubung kenyataan Menteri Besar itu mengenai dokumen terbabit.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak mempunyai gambaran jelas mengenai perkara itu kerana tidak berada dalam majlis ketika dokumen berkenaan ditandatangani.
“Dia pastinya akan bertemu dengan saya ketika PAU2026 ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau dan saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyerahkan kepada pihak yang terlibat dalam penyediaan, penyaksian dan penyimpanan dokumen berkenaan untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika penandatangan itu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail sebelum ini mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berhubung penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir secara paksaan atau duress.
Beliau turut dilaporkan membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang kelmarin bagi membolehkan dakwaan berkenaan disiasat.
Ismail mendakwa Kerajaan Negeri Sembilan berpandangan bahawa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Perkembangan terbaharu itu dijangka memberi ruang kepada Ahmad Zahid mendapatkan penjelasan lebih terperinci daripada Ismail berhubung latar belakang, keadaan dan proses yang membawa kepada tandatangan dokumen tersebut.







