KUCHING – Indonesia terus memperhebat operasi pemadaman darat dan udara serta memperketat penguatkuasaan undang-undang bagi menangani krisis kebakaran hutan dan lahan (Karhutla) yang sedang melanda negara tersebut.
Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kuching menerusi satu kenyataan media rasmi pada Khamis memaklumkan, fokus utama operasi kini tertumpu di enam wilayah keutamaan iaitu Kalimantan Tengah, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Riau, dan Jambi.
Bagi mempercepat proses tindak balas kecemasan, pihak berkuasa Indonesia telah menggerakkan seramai 43,951 anggota bersepadu ke lapangan untuk melaksanakan operasi pemadaman langsung, pembendungan api serta pemantauan risiko nyalaan semula.
Usaha pemadaman di darat itu turut disokong oleh pengerahan 55 aset penerbangan, yang merangkumi 34 pesawat untuk operasi pengeboman air dan 19 pesawat bagi tujuan rondaan serta operasi pembenihan awan.
Setakat jam 12.20 tengah hari pada 10 September, pihak berkuasa berjaya memadamkan kebakaran yang melibatkan 77,080.79 hektar kawasan, manakala operasi berterusan masih gigih ditumpukan di kawasan aktif seluas 1,742.16 hektar.
Bagi membendung perbuatan tidak bertanggungjawab yang menyumbang kepada krisis ini, Polis Negara Indonesia telah mengambil tindakan drastik dengan membuka 200 laporan polis berkaitan insiden pembakaran.
Setakat 7 September, seramai 138 individu telah ditahan sebagai suspek, manakala prosiding perundangan turut dimulakan ke atas lapan syarikat korporat yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden Karhutla.
Langkah pencegahan komprehensif juga diperkukuh menerusi pengeluaran Instruksi Presiden (Inpres) No. 11 Tahun 2026 yang menegaskan larangan pembukaan tanah melalui pembakaran.

Arahan tersebut turut mewajibkan syarikat konsesi untuk menyelenggara zon penampan sejauh lima kilometer serta menyediakan pasukan tindak balas kecemasan beserta kelengkapan jentera berat.
Susulan pembakaran yang berterusan di beberapa wilayah, pemantauan sistem SiPongi masih merekodkan sebanyak 395 titik panas di seluruh negara setakat malam Rabu.
Krisis jerebu tempatan ini telah menyebabkan Indeks Piawaian Pencemar Udara (ISPU) di daerah sekitar Kalimantan kekal pada tahap “Berbahaya” setakat 10 September.
Kabupaten Kotawaringin Timur mencatatkan bacaan ISPU tertinggi pada 1,119 (PM10), diikuti oleh Kabupaten Kubu Raya pada 479 (PM10), Kabupaten Gunung Mas (407 PM2.5) dan Kota Pontianak (310 PM2.5).
Indonesia memberi jaminan untuk terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan orang awam boleh mengikuti laporan perkembangan Karhutla secara telus menerusi portal BNPB Karhutla Dashboard serta pangkalan data SiPongi+.









