
PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa erti kemerdekaan belum sempurna selagi undang-undang ‘warisan penjajah’ yang didakwa menyekat pelaksanaan Islam tidak dihapuskan.
Naratif itu kuat kerana menggabungkan tiga perkara sensitif — Islam, penjajah dan kemerdekaan. Namun sejarah pembentukan negara tidak semudah formula ‘undang-undang penjajah lawan Islam’.
Memang benar Suruhanjaya Reid dianggotai lima tokoh luar Tanah Melayu. Tetapi proses pembentukan Perlembagaan turut mengambil kira memorandum parti politik dan masyarakat serta kemudiannya melibatkan rundingan Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan pihak British.
Hasil akhirnya jelas: Islam termaktub sebagai agama bagi Persekutuan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, Perkara 4 meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan, manakala Jadual Kesembilan membahagikan kuasa antara Persekutuan dan negeri.
Sebab itu apabila sesuatu undang-undang syariah negeri dicabar di mahkamah, persoalan undang-undangnya bukan semudah ‘Islam lawan sekular‘.
Persoalannya ialah: Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang mempunyai kuasa menggubal kesalahan tersebut?
Akta 355 ketika ada kuasa apa yang dilkukan?
Abdul Hadi betul mengenai satu fakta penting.
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 memang mengehadkan hukuman Mahkamah Syariah kepada formula 3:5:6 — tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan.
Tetapi di sinilah persoalan rekod perlu dikemukakan.
Pas pernah berada dalam Kerajaan Persekutuan selepas 2020. Pemimpin PAS bukan sekadar penyokong kerajaan, malah memegang jawatan menteri termasuk portfolio berkaitan undang-undang dan hal ehwal agama.
Kerajaan ketika itu pernah memaklumkan bahawa pindaan Akta 355 sedang melalui proses tertentu.
Namun pindaan yang sekian lama menjadi perjuangan PAS itu tetap tidak diselesaikan.
Maka soalan yang wajar dijawab:
Jika Akta 355 benar-benar dianggap antara halangan besar kepada pemerkasaan syariah, mengapa ia tidak berjaya diselesaikan ketika PAS sendiri berada dalam kerajaan?
Ini bukan mempertikaikan Islam.
Ini soal akauntabiliti sebuah parti politik terhadap perjuangan yang dilaungkannya sendiri.
DAP dan sekular bercakaplah dengan fakta
Pas turut menjadikan DAP sebagai antagonis utama.
Faktanya, Perlembagaan DAP memang menggunakan istilah ‘secular document‘ dan menyebut usaha mengembalikan Perlembagaan kepada ‘original secular framework‘.
Perkara itu tidak perlu dinafikan.
Tetapi fakta juga mesti diberikan secara lengkap.
DAP turut menyatakan komitmen terhadap kerangka Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu serta kedudukan Melayu dan Bumiputera.
Maka tidak bersetuju dengan tafsiran DAP mengenai sekularisme adalah satu perkara.
Mendakwa bahawa kewujudan DAP membuktikan Islam telah diketepikan dalam Kerajaan Perpaduan adalah perkara lain yang memerlukan bukti.
Hari ini Perkara 3 masih kekal. Institusi Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam kekal. Mahkamah Syariah kekal. Institusi pentadbiran Islam juga terus berfungsi.
Jadi atas ukuran apakah DAP dikatakan telah ‘menguasai’ PH sehingga kedudukan Islam terancam?
Islam bukan milik eksklusif mana-mana parti
Perkara paling penting perlu dibezakan.
Islam adalah agama, Pas adalah parti politik
Mengkritik keputusan atau rekod PAS tidak bermaksud mengkritik Islam.
Begitu juga mempertahankan proses Perlembagaan tidak bermaksud mempertahankan penjajahan British.
Jika PAS benar-benar mahu melakukan perubahan besar terhadap undang-undang Islam, bentangkan dengan jelas pindaan yang diperlukan, mekanisme pelaksanaannya, pembahagian kuasa Persekutuan-negeri serta bagaimana hak seluruh rakyat akan terus dilindungi.
Kemudian bina sokongan demokratik untuk melaksanakannya.
Itulah politik matang.
Selepas hampir tujuh dekad Merdeka, rakyat tidak seharusnya terperangkap dalam pertandingan siapa paling lantang bercakap mengenai Islam.
Soalan yang lebih penting ialah:
Ketika mempunyai kuasa, apakah yang telah dilakukan?
Islam tidak menjadi lebih mulia kerana slogan politik.






