
TEMERLOH – Seorang bekas pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun sehingga menyebabkan kecederaan emosi.
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Nor Ain Ashikin Husin, 26, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah taska di Jalan Keramat Indah, Mentakab, kira-kira jam 9.45 pagi, 11 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang memakai baju hitam hadir bersama suaminya dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Peguam Mohd Falihin Kamil memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tiada rekod jenayah, memberi kerjasama dan kini tidak bekerja. Keluarga tertuduh juga hanya mampu menyediakan RM5,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali sebulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober 2026.




