
SEPANG – Kerajaan Selangor memberi jaminan pembangunan pusat data di negeri itu tidak akan menjejaskan bekalan air dan elektrik kepada rakyat, berikutan setiap projek tertakluk kepada syarat ketat sebelum diluluskan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap cadangan pembangunan pusat data perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Petugas Pusat Data di peringkat Kerajaan Persekutuan yang turut menilai keperluan bekalan tenaga dan air.
Katanya, kelulusan projek juga bergantung kepada pengesahan kapasiti bekalan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.
“Tanpa bekalan air yang mencukupi, pusat data tidak akan diluluskan di Selangor. Kita amat peka terhadap kebimbangan rakyat mengenai penggunaan air dan elektrik, sebab itu setiap projek dipantau dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran fasa pembinaan Taman Perindustrian Terurus Pertama di Malaysia di NCT Smart Industrial Park (NSIP), Jalan Langat Lestari, di sini semalam.

Amirudin berkata, projek Loji Rawatan Air Rasau dijangka meningkatkan kapasiti bekalan air negeri sebanyak 350 juta liter sehari (MLD) pada peringkat awal, sebelum mencapai sehingga 700 MLD apabila fasa pertama siap sepenuhnya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan penggunaan air kitar semula serta teknologi penyejukan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan industri terhadap bekalan air terawat.
Menurut beliau, pertumbuhan industri pusat data turut memberi limpahan ekonomi kepada Selangor menerusi perkembangan sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta penglibatan syarikat tempatan.
“Kita juga ada dasar 30 peratus kandungan tempatan supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat daripada operasi pusat data di Selangor,” katanya.
Mengulas pembangunan NSIP, Amirudin berkata taman perindustrian berkenaan memainkan peranan penting dalam Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS), selain menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negeri secara berterusan.
Untuk rekod, sebanyak 39 projek pusat data telah diluluskan di Selangor dari tahun 2021 hingga 2025 dan mampu menjana lebih 2,400 pekerjaan tetap dalam bidang teknologi maklumat, teknikal, dan kejuruteraan.
Lokasi utama di Cyberjaya dengan kehadiran syarikat seperti NTT, Bridge, dan Vantage, serta pelaburan besar Google di Elmina Business.



