
ARAU – Dunia pertahanan kini memerlukan kepakaran baharu termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, sains data dan keselamatan siber bagi menghadapi perubahan bentuk peperangan moden.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan teknologi ketenteraan berlaku begitu pantas khususnya sejak dua tahun kebelakangan ini sehingga mengubah keperluan serta pendekatan pertahanan sesebuah negara.
Menurutnya, tumpuan yang sebelum ini banyak diberikan terhadap aset berat kini semakin beralih kepada penggunaan sistem autonomi yang digerakkan AI, robotik serta teknologi tanpa pemandu.
“Cabaran keselamatan dan pertahanan tidak lagi datang dalam bentuk peperangan konvensional semata-mata.
“Kita berdepan dengan peperangan hibrid yang menggabungkan pelbagai bentuk tekanan termasuk ekonomi, siber dan maklumat,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Eksekutif Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), di sini hari ini.
Beliau berkata, kecanggihan teknologi termasuk AI, manipulasi data raya dan analitik serta aktiviti penggodaman kini menjadi antara ancaman yang semakin ketara terhadap keselamatan negara.
Katanya, perkembangan pesawat tanpa pemandu atau dron juga telah mengubah dinamik sesuatu pertempuran bersenjata sebagaimana dapat dilihat dalam konflik Rusia-Ukraine.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled berkata, peperangan kognitif dan manipulasi maklumat bagi mempengaruhi pemikiran, emosi serta persepsi masyarakat turut menjadi cabaran baharu yang perlu diberi perhatian.
“Emosi dan persepsi orang awam kini sudah menjadi instrumen yang sangat ampuh untuk menggugat keharmonian dan mendatangkan ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara,” katanya.
Menurutnya, perubahan itu menuntut dunia pertahanan membangunkan kepakaran dalam AI dan pembelajaran mesin, sains data, keselamatan siber, robotik, teknologi dron, peperangan elektronik, kriptografi serta teknologi aeroangkasa.
Katanya, keperluan tersebut semakin penting ketika dunia turut berhadapan ancaman penyeludupan, bencana alam, perubahan iklim, keselamatan makanan dan tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan ekonomi.
Beliau berkata, ilmu dan idea tidak lagi boleh dianggap sekadar pelengkap kepada kekuatan fizikal, sebaliknya menjadi komponen penting dalam membangunkan keupayaan pertahanan masa depan negara.



