
KANGAR – Kerajaan Perlis dirayu mencari penyelesaian secara berhemah, inklusif dan berperikemanusiaan terhadap penduduk serta komuniti termasuk rumah ibadat yang terkesan di kawasan Bukit Lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, rayuan itu dikemukakan menerusi surat kepada Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah selepas beliau menerima aduan dan mengadakan pertemuan dengan wakil komuniti terbabit.
Menurutnya, kerajaan negeri sememangnya mempunyai tanggungjawab menguruskan tanah kerajaan, perancangan pembangunan dan penguatkuasaan undang-undang, namun keadaan sebenar serta sejarah masyarakat yang sudah lama menetap di kawasan berkenaan juga wajar dipertimbangkan.
“Sebahagian daripada penempatan tersebut telah wujud sejak sekian lama dengan pengetahuan dan bantuan kerajaan negeri terdahulu.
“Walaupun kedudukan mereka mungkin tidak berdasarkan hak milik tanah yang didaftarkan secara kekal dan rasmi, hakikatnya mereka telah membina kehidupan, keluarga dan komuniti di situ untuk tempoh yang panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, status tanah tidak seharusnya menjadi satu-satunya pertimbangan sehingga aspek kebajikan dan kehidupan penduduk terlibat terpinggir.
Sehubungan itu, Ay Ling mencadangkan kerajaan negeri menyediakan penempatan semula yang munasabah dan teratur sekiranya terdapat penduduk atau komuniti yang perlu berpindah.
Katanya, tapak alternatif atau tanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang bersesuaian juga boleh dipertimbangkan bagi rumah ibadat yang terkesan.
“Sekiranya penempatan semula tidak dapat disediakan, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan pampasan atau bantuan sewajarnya berdasarkan keadaan dan kesan kepada pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan satu sesi perbincangan rasmi diadakan membabitkan kerajaan negeri, penduduk, wakil komuniti serta pengurusan rumah ibadat di kawasan itu bagi mencari jalan penyelesaian bersama.
Katanya, pendekatan melalui dialog dan rundingan mampu menghasilkan penyelesaian lebih baik berbanding tindakan yang hanya dilihat dari sudut pentadbiran serta penguatkuasaan.
“Perlis adalah rumah kita bersama. Kita boleh menjaga kepentingan pembangunan dan pentadbiran negeri tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan.
“Saya percaya jalan penyelesaian masih ada dan jalan terbaik ialah melalui perbincangan, persefahaman serta sikap saling bertimbang rasa,” katanya.






