
PUTRAJAYA – Peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun depan akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tambahan itu meliputi semua aliran sekolah, dengan keutamaan diberikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), selain Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
Menurut beliau, semua sekolah akan menerima peruntukan tambahan bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dan pembaikan prasarana dilaksanakan dengan lebih segera.
“Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan. Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan, pembaikan prasarana mulai bulan depan.
“Kita tidak mahu tertangguh sehingga tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Dalam amanat sama, Anwar turut mengumumkan lima lagi ikhtiar kerajaan sebagai langkah membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi serta pentadbiran negara.
Antaranya, kuota asas BUDI RON95 MADANI (BUDI95) bagi setiap warganegara Malaysia dikembalikan kepada 300 liter sebulan.
Kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta, selain memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI bagi membantu penjaja dan peniaga kecil.
Selain itu, seramai 100,000 belia akan menerima modul kecerdasan buatan (AI) secara percuma, manakala RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh kecekapan digital sektor awam.





