
LIMBANG – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menyantuni mangsa yang terjejas dalam kebakaran membabitkan empat buah rumah di Kampung Baru Medamit di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda susulan kejadian berkenaan.
Hasbi berkata, semua mangsa terlibat diminta mengemukakan nama dan maklumat lengkap kepada Pejabat Daerah Limbang bagi membolehkan permohonan bantuan bencana diproses menerusi saluran ditetapkan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan setiap mangsa yang terjejas dapat dikenal pasti sekali gus menerima bantuan sewajarnya dalam tempoh terdekat.
“Yang penting sekarang, semua mangsa perlu memberikan nama dan maklumat kepada Pejabat Daerah Limbang supaya urusan permohonan bantuan bencana dapat dilakukan.
“Kita mahu memastikan kebajikan setiap mangsa diberi perhatian dan mereka mendapat bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni mangsa kebakaran berkenaan di Kampung Baru Medamit, di sini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha mencari alternatif serta bentuk bantuan lain bagi meringankan beban keluarga yang kehilangan kediaman dalam kejadian tersebut.
“Kita akan cuba sedaya upaya mencari jalan dan alternatif lain untuk membantu mangsa, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian ini.
“Kebajikan mangsa menjadi keutamaan dan kita akan berusaha memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kebakaran tersebut mengakibatkan empat buah rumah musnah sepenuhnya.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.





