
AYER KEROH – Kerajaan MADANI berperanan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit isu tatakelola dan pengurusan dana awam sekiranya terdapat bukti kukuh, tanpa melihatnya dari sudut kepentingan politik atau sentimen pengundi.
Ketua PKR Cabang Shah Alam, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan tidak seharusnya bimbang dengan dakwaan kononnya tindakan terhadap pihak tertentu bermotifkan dendam, sebaliknya perlu melaksanakan perkara yang betul demi kepentingan awam dan negara.
Menurut beliau, tindakan kerajaan tidak seharusnya dibuat semata-mata untuk mendapatkan sokongan golongan pengundi tertentu, termasuk kelompok elit, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip integriti dan akauntabiliti.
“Bila didakwa, dia kata nanti kita ambil tindakan dendam, balas dendam. Tapi bila tidak didakwa, dia akan kata kita berkompromi. Jadi, buatlah apa yang betul. Sekiranya ada masalah ataupun ada isu yang melibatkan tatakelola negara di peringkat dana awam, jika ada isu, ada bukti, siasat dan dakwa mereka.
“Mereka perlu dihukum jika didapati bersalah. Jadi untuk saya mudah saja. Kita sokong untuk Perdana Menteri dan kerajaan membuat perkara yang betul demi kepentingan awam dan demi kepentingan negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Sabtu
Mengulas kemungkinan tindakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap agensi lain memberi kesan kepada sokongan pengundi, Mohd Najwan berkata, kerajaan perlu mengutamakan kepentingan negara berbanding pertimbangan politik jangka pendek.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor memaklumkan, rakyat mempunyai hak untuk menilai setiap tindakan kerajaan dan tidak wajar dipandang rendah dari segi kebijaksanaan mereka dalam membuat pertimbangan.

“Dia bukan soal sentimen pengundi, dia soal integriti dan juga akauntabiliti sebagai kerajaan. Pengundi mempunyai hak, maksudnya kita yakin dengan kebijaksanaan rakyat, dengan wisdom of the voters, di mana mereka melihat dan menilai.
“Jadi kalau apa yang kita buat tu betul, Insya-Allah kita perlu ada keyakinan pengundi akan melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan baik untuk negara. Apa yang penting adalah apa yang terbaik untuk negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu sentiasa peka terhadap sentimen serta perkembangan semasa, khususnya ketika politik identiti semakin memainkan peranan dalam membentuk naratif dan pemikiran masyarakat.
Menurutnya, keadaan itu menjadi cabaran besar kepada parti dan pimpinan PH untuk menangani sentimen semasa serta menguasai semula naratif yang sebelum ini menjadi kekuatan gabungan terbabit.
“Jangan kita remehkan wisdom pengundi. Mungkin kecil tindakan ataupun sesuatu dasar yang kerajaan buat, tetapi mungkin impak dia besar kepada pengundi. Jadi ini kita yakin akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan nanti.
“Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa peka dengan sentimen dan juga keadaan semasa di mana ketika ini politik identiti memainkan peranan pentinglah dalam membentuk naratif dan juga pemikiran masyarakat,” ujarnya.
Oleh itu, tambahnya, tanggungjawab besar PKR, anggota, pimpinan parti untuk menangani sentimen yang ada sekarang ini, selain perlu menguasai naratif yang sebelum ini kita pegangntetapi ketika ia sudah berubah.
“Jadi ini cabaran besar kepada Keadilan, Pakatan Harapan, dan juga para penggerak Pakatan Harapan. Kita mesti maju kedepan dengan membuat sebaik yang mungkin,” katanya,” katanya.






