
ARAU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis terus menerima tekanan selepas seorang Exco Kerajaan Negeri Perlis meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Arau berkuat kuasa serta-merta.
Beliau, Megat Hashirat Hassan mengumumkan keputusan itu menerusi surat bertarikh 10 Ogos 2026 yang dikemukakan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam surat berkenaan, Megat Hashirat berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa parti serta melalui pertimbangan sewajarnya.
“Setelah menilai keadaan serta hala tuju kepimpinan parti pada masa ini, saya merasakan bahawa keputusan untuk berundur daripada jawatan merupakan langkah yang paling wajar.
“Keputusan ini adalah atas pendirian dan pertimbangan peribadi saya sendiri, tanpa menafikan segala pengalaman, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan sepanjang saya menjalankan amanah dalam Bersatu Bahagian Arau,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undanga Negari (ADUN) Pauh tidak memperincikan perkembangan semasa parti atau perkara berkaitan hala tuju kepimpinan yang mendorongnya mengambil keputusan berkenaan.

Megat Hashirat pada masa sama merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan serta ahli Bersatu Bahagian Arau atas kerjasama diberikan sepanjang beliau memegang jawatan.
Beliau turut berharap keputusan peletakan jawatan itu dapat diterima dan diambil maklum oleh parti berkuat kuasa pada tarikh surat berkenaan.
Salinan surat tersebut turut dikemukakan kepada Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis dan Ketua Bersatu Bahagian Arau.
Perkembangan itu menambah perhatian terhadap kedudukan Bersatu Perlis selepas parti berkenaan berdepan beberapa episod perubahan politik dan kepimpinan di negeri itu sejak kebelakangan ini.




