
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) supaya menyegerakan pengurusan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor berkaitan serta memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi negara.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan sektor yang memerlukan tenaga kerja mencukupi dapat terus beroperasi dengan lancar dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai isu permohonan pekerja asing dan Perdana Menteri telah meminta KESUMA supaya segera menguruskan 15,000 permohonan pekerja asing.
“Ia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor yang terlibat dan secara langsung menyokong aktiviti ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semua permohonan kuota pekerja asing kini diwajibkan dikemukakan menerusi modul e-Kuota dalam sistem Foreign Worker Centralized Management System (FWCMS) yang dikendalikan oleh KESUMA.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata, pelaksanaan itu dibuat susulan pemindahan operasi Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) ke bawah KESUMA selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Julai lalu.
Beliau berkata, kerajaan turut menamatkan amalan kelulusan kuota pekerja asing secara kes demi kes dengan mewajibkan semua permohonan dibuat melalui sistem digital.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja mempercepatkan proses permohonan, malah menghapuskan budaya beratur serta mengelakkan campur tangan pihak-pihak tertentu dalam urusan kelulusan.





