KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) bernilai RM30,600, membabitkan sumbangan RM300 kepada setiap 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Tawau, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana berkenaan.
Justeru, Hajiji merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian terbabit.
Antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta semua agensi dan ahli jawatankuasa yang terlibat.
Baru-baru ini, banjir yang melanda Tawau menjejaskan 102 KIR membabitkan 362 mangsa yang terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi.
Kesemua mereka yang terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih.
Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat
PADANG BESAR – Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSMP) di Bukit Chabang yang terbengkalai selama 11 tahun tidak boleh lagi berulang sehingga menjadi satu kebiasaan. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri…
Lebih lanjut




