
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mengalu-alukan kerjasama strategik yang dimeterai antara Eastport Marine Sdn Bhd, BMM Marine Services Sdn Bhd dan KCCI Venture Sdn Bhd sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem industri maritim negeri, sekali gus meningkatkan keupayaan penyediaan perkhidmatan bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan Ekonomi Biru Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama membabitkan tiga syarikat tempatan itu membuktikan komitmen sektor swasta untuk berganding bahu meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh kapasiti industri serta menyediakan perkhidmatan maritim yang lebih berkualiti.
“Usaha itu selaras dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah dalam memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
“Saya mengalu-alukan kerjasama seperti ini di antara pemain-pemain industri tempatan sesuai dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First di Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah.

“Mudah-mudahan hasil pemeteraian ini memberi manfaat bukan sahaja kepada ketiga-tiga pihak yang terlibat, malah kepada industri maritim di Sabah serta perkhidmatan berkaitan,” katanya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Eastport Marine Sdn Bhd, BMM Marine Services Sdn Bhd dan KCCI Venture Sdn Bhd, di sini, pada Khamis.
Menurut Ewon, kementeriannya sentiasa menyokong dan menggalakkan lebih banyak kerjasama strategik antara pemain industri tempatan bagi memenuhi keperluan sektor yang semakin berkembang, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang kini menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi Sabah.
“Pemeteraian Memorandum Perjanjian tersebut bukan sekadar menandakan permulaan kerjasama perniagaan, malah mencerminkan keyakinan tinggi industri tempatan terhadap potensi besar Ekonomi Biru Sabah yang semakin mendapat perhatian pelabur.
“Kolaborasi berkenaan turut memperlihatkan kesungguhan syarikat-syarikat berpangkalan di Sabah untuk membangunkan keupayaan tempatan, memperkukuh daya saing industri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat negeri ini.
“Sabah kini sedang melalui fasa pertumbuhan perindustrian yang memberangsangkan dengan peningkatan pelaburan dalam sektor kargo pukal kering, minyak dan gas, petrokimia, logistik, tenaga boleh baharu serta Ekonomi Biru yang dijangka terus merangsang permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan sokongan maritim,” ujarnya.

Tambahnya, perkembangan pesat sektor berkenaan memerlukan penyedia perkhidmatan maritim yang berkeupayaan tinggi dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan tunda pelabuhan, logistik maritim luar pesisir, pengendalian kapal, sokongan pemanduan kapal, perkhidmatan tambatan kapal serta keupayaan tindak balas kecemasan.
“Semua perkhidmatan tersebut memerlukan tahap profesionalisme, kepakaran teknikal serta pematuhan standard keselamatan yang tinggi bagi memastikan operasi industri dapat dijalankan secara cekap dan mampan.
“Saya menyifatkan kerjasama antara Eastport Marine, BMM Marine Services dan KCCI Venture sebagai contoh terbaik kolaborasi strategik yang ingin terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha membina ekosistem maritim yang lebih bersepadu dan berdaya saing.
“Ekosistem maritim yang bersepadu melibatkan infrastruktur pelabuhan moden, penyedia perkhidmatan yang berdaya saing, tenaga profesional tempatan yang berkemahiran serta kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting untuk meningkatkan daya saing Sabah sebagai hab maritim serantau,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ewon berharap Memorandum Perjanjian yang dimeterai itu dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang produktif dan berkekalan, sekali gus memberi nilai tambah kepada syarikat-syarikat terlibat, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah serta menyumbang kepada pertumbuhan berterusan industri maritim, minyak dan gas di negeri ini.







