
SIBU – Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang di sini bagi memeriahkan program Unity Walk bersempena sambutan Hari Sarawak 2026 pada pagi Rabu.
Acara pelepasan peserta pada jam 7 pagi itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau diiringi isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta barisan pemimpin negeri untuk menyertai acara berjalan kaki sejauh lebih tiga kilometer tersebut.
Laluan para peserta merangkumi beberapa jalan utama bandar seperti Jalan Bujang Suntong, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Awang Ramli Amit, Jalan Masjid dan Jalan Kampung Datu.
Penyertaan luar biasa itu mencerminkan semangat perpaduan utuh yang menjadi asas kekuatan Sarawak.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, program berkenaan turut menjadi wadah memperkukuh keharmonian serta menyemai rasa bangga terhadap sejarah dan identiti negeri.

Seusai acara, Wan Junaidi bersama rombongan berkesempatan mengunjungi Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026.
Mereka meninjau pelbagai bahan pameran yang mengetengahkan perjalanan pembangunan negeri sebelum menghadiri jamuan ringkas di Sibu Kitchen.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berserta barisan timbalan menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan.



