
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat usaha meningkatkan kualiti rangkaian telekomunikasi bagi menangani masalah pengguna yang menerima isyarat telefon pada tahap maksimum, tetapi gagal mengakses internet.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelbagai langkah sedang dilaksanakan bersama syarikat penyedia perkhidmatan, termasuk menaik taraf rangkaian penghantaran menggunakan gentian optik berkapasiti tinggi serta menyediakan laluan penghantaran alternatif bagi memastikan perkhidmatan lebih stabil.
“Isu ketiadaan akses internet walaupun pengguna menerima isyarat telefon yang kuat atau full bars boleh berlaku akibat beberapa faktor yang menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) yang meminta Kementerian Komunikasi menjelaskan pelan menyeluruh kerajaan bagi mengatasi masalah kegagalan talian teras pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Teo, gangguan capaian internet boleh berpunca daripada kesesakan kapasiti rangkaian susulan penggunaan data yang tinggi selain kerosakan pada talian penghantaran.
Beliau berkata, masalah itu turut dipengaruhi faktor luaran seperti pemotongan kabel gentian optik, vandalisme, kecurian, bencana alam, ancaman haiwan liar dan kerja pembinaan yang menjejaskan infrastruktur telekomunikasi.
“Selain faktor rangkaian, pengalaman pengguna turut dipengaruhi oleh keadaan peranti, tetapan telefon, jenis pelan langganan serta baki kuota data yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan, MCMC turut menambah baik kemudahan sokongan termasuk sistem jana kuasa sandaran, selain memastikan semua tapak komunikasi dipantau sepanjang masa menerusi Pusat Pemantauan Rangkaian (NMC) yang beroperasi 24 jam.
Dalam masa sama, katanya, aspek keselamatan infrastruktur telekomunikasi di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) terus diperkasakan bagi mengelakkan kejadian vandalisme dan kecurian yang boleh menjejaskan perkhidmatan.
“Bagi meningkatkan keselamatan menara-menara di bawah inisiatif Pelan JENDELA, Pemberi Perkhidmatan telah mengambil langkah memperkasakan tapak-tapak menara komunikasi yang berisiko dengan pemasangan kelengkapan antikecurian dan vandalisme seperti pemasangan sesalur besi untuk mengelakkan kabel tembaga dipotong dan dicuri,” katanya.


