
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menjelaskan kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) di Sabah berpunca daripada isu pensijilan halal syarikat pembungkus serta ketidakseimbangan pengagihan bekalan, bukannya kelemahan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Menurut kementerian, pelaksanaan eCOSS dilakukan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula pada awal 2023 melibatkan pemantauan rantaian bekalan daripada kilang penapisan, syarikat pembungkus hingga ke peruncit, termasuk pengurusan kuota bulanan dan tuntutan subsidi secara digital.
“Fasa kedua pula bermula pada Mei 2025 menerusi pelaksanaan aplikasi mudah alih eCOSS yang membolehkan transaksi jual beli di peringkat peruncit direkodkan secara masa nyata (real-time) menggunakan imbasan kod QR.
“Bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, hanya 15 aduan berkaitan ketiadaan bekalan minyak masak subsidi diterima di Sabah, mewakili enam peratus daripada keseluruhan 270 aduan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) berkenaan punca kekurangan bekalan minyak masak subsidi di Sabah walaupun sistem eCOSS telah diperkenalkan.
Bagaimanapun, kementerian mengakui terdapat dua faktor utama yang menyebabkan gangguan bekalan di negeri itu iaitu beberapa syarikat pembungkus di Sabah menghentikan operasi pada tahun 2025 kerana tidak memiliki sijil halal yang sah.
Isu tersebut bagaimanapun diselesaikan secara berperingkat dan pulih sepenuhnya menjelang penghujung Disember 2025, sebelum bekalan kembali stabil mulai Januari 2026.
“Kedua, kebanyakan kilang penapisan dan syarikat pembungkus tertumpu di pantai timur Sabah seperti Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Tawau, menyebabkan pengagihan bekalan lebih banyak tertumpu di kawasan berkenaan.
“Bagi mengatasi perkara itu, KPDN memperkenalkan mekanisme zoning sejak 2025 bagi memastikan syarikat pembungkus dan pemborong mengagihkan minyak masak peket bersubsidi mengikut keperluan setiap daerah di seluruh Sabah,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh pemantauan, kementerian turut meningkatkan penggunaan aplikasi Mobile eCOSS di Sabah, dengan jumlah pengguna berdaftar melonjak sebanyak 784 peratus daripada 56,000 pengguna pada Mei 2025 kepada 495,000 pengguna setakat 18 Jun 2026.
Menurut KPDN, data transaksi masa nyata yang direkodkan menerusi aplikasi itu membolehkan pihaknya mengenal pasti lokasi yang mengalami kekurangan bekalan dan mengarahkan pengedaran tambahan ke kawasan terbabit.
Pada masa sama, kementerian turut memperhebat penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 41 kes penyelewengan minyak masak bersubsidi berjaya dikesan di Sabah dengan nilai rampasan keseluruhan RM97,320.46.
KPDN menegaskan peningkatan penggunaan aplikasi Mobile eCOSS membuktikan keberkesanan sistem pemantauan digital dalam memperkukuh kawal selia rantaian bekalan minyak masak bersubsidi serta memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.





