
MARAN – Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam melahirkan rasa terharu selepas dinobatkan sebagai Tokoh Generasi FELDA 2026 bersempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini, semalam.
Lebih mengujakan buat dirinya apabila anugerah berprestij itu disampaikan oleh tiga pemimpin utama negara dan negeri iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri ’ Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Amizar adalah anak peneroka FELDA Wilayah Mempaga mengakui tidak menyangka dipilih menerima pengiktirafan berkenaan kerana anugerah itu bukan sesuatu yang dipertandingkan, sebaliknya diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan kepada masyarakat FELDA.
“Pertamanya saya rasa sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan limpahNya, saya telah pun dinobatkan Tokoh Generasi FELDA pada tahun 2026 ini.
“Dan rasa terkejut juga benda ni datang sebegitu rupa. Alhamdulillah, saya sangat teruja lagi dengan kehadiran tiga pemimpin iaiatu Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar sendiri, serta dihadapan begitu ramai peroka hari ni yang dapat menyaksikan saya diletakkan sebagai penerima anugerah ,” katanya ketika ditemui Pahang Media.
Katanya, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti FELDA serta memperkasakan generasi muda agar terus memainkan peranan memajukan tanah rancangan.
Menurutnya, anak-anak peneroka perlu meneruskan legasi ibu bapa mereka dengan memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan FELDA.
“Saya nak menyeru juga kepada generasi anak-anak peneroka dan juga generasi-generasi peneroka di luar sana supaya kita teruskan lagi dengan apa pencapaian-pencapaian, sumbangan kita, kembali kepada ibu dan juga ayah kita dan juga kepada FELDA.
“Sebenarnya yang penting adalah keberhasilan apa yang kita laksanakan ialah setiap perkara-perkara berhubung kait dengan FELDA, berhubung kait dengan generasi FELDA” ujarnya.


