Wanita lakukan kekerasan terhadap Sultan Perak didenda RM500

IPOH – Seorang wanita didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu.

Majistret Norizan Riduan menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ibu tunggal kepada lima anak itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, dalam daerah Kinta, kira-kira jam 8.20 pagi pada 31 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan berkenaan.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku pada sambutan Hari Kebangsaan dan melibatkan serangan terhadap seorang raja pemerintah, justeru hukuman yang dikenakan perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh serta peringatan kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan sedemikian.

Peguam bela, Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh secara pro bono pula merayu hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya memohon keampunan daripada Sultan Perak atas keterlanjuran perbuatannya.

Katanya, tertuduh yang telah bercerai sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja dan dijaga oleh anak-anaknya.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia serta pernah menerima rawatan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira tempoh tahanan selama 55 hari yang telah dilalui tertuduh, termasuk sepanjang tempoh reman, siasatan, tahanan dan pemerhatian di hospital.

Pada 8 September 2025, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan berkenaan, namun tiada pengakuan direkodkan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya dia menjalani pemeriksaan dan pemantauan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang berpakaian serba hitam didakwa naik ke pentas acara sebelum tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin dan menarik baginda sehingga hampir terjatuh.

Pegawai serta anggota keselamatan yang berada di lokasi kemudian bertindak menahan tertuduh sebelum satu laporan polis dibuat.

Tertuduh yang dirujuk ke HBUK disahkan menghidap skizofrenia, namun laporan psikiatri mendapati dia layak dibicarakan serta berupaya memberikan pengakuan.

Related Posts

Lelaki ditahan bersama dadah, simpan objek menyerupai pistol dan 208 peluru hidup

IPOH – Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak empat bulan lalu terbongkar apabila dia ditahan bersama ketamin, MDMA serta pelbagai objek menyerupai senjata api dan ratusan peluru…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wujud perbuatan ‘salam kaut’ tengah laut, periuk nasi nelayan persisir pantai terjejas

BATU PAHAT – Beberapa nelayan di sini mendakwa isu kutipan wang perlindungan bulanan bukan lagi rahsia di kalangan nelayan, perbuatan ‘salam kaut’ segelintir agensi penguat kuasa di laut tidak ubah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengalaman sedekad sebagai peguam kelebihan fahami dasar, undang-undang – Kartiyaini

Pengalaman sedekad sebagai peguam kelebihan fahami dasar, undang-undang – Kartiyaini

Haniff Hosman eratkan silaturahim bersama jemaah Surau Kampung Dalam

Haniff Hosman eratkan silaturahim bersama jemaah Surau Kampung Dalam

BN jangan jadikan program jelajah TVET bahan kempen politik – Alan

BN jangan jadikan program jelajah TVET bahan kempen politik – Alan

Wanita lakukan kekerasan terhadap Sultan Perak didenda RM500

Wanita lakukan kekerasan terhadap Sultan Perak didenda RM500

FELDA disaran selesai isu lapuk dihadapi peneroka

FELDA disaran selesai isu lapuk dihadapi peneroka

Lelaki ditahan bersama dadah, simpan objek menyerupai pistol dan 208 peluru hidup

Lelaki ditahan bersama dadah, simpan objek menyerupai pistol dan 208 peluru hidup