Cultural Night satukan anak Bukit Saban, Uggah seru belia rebut peluang pembangunan

KUCHING – Kelab Anak Asal Bukit Saban (KAABS) Cultural Night 2026 menjadi platform penting dalam menyatukan belia Bukit Saban yang menetap di Kuching, selain memperkukuh silaturahim, memupuk semangat kekitaan serta memastikan adat dan budaya tradisi masyarakat Iban terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis bertemakan “Celebrating Culture, Unity and Friendship” itu bukan sahaja mengangkat identiti serta warisan masyarakat Dayak, malah menjadi platform yang menghubungkan masyarakat dengan pemimpin, sekali gus membuka ruang kepada rakyat bertukar pandangan dan mengikuti perkembangan dasar serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan KAABS Cultural Night 2026 yang berlangsung di sini, malam tadi.

“Program seperti ini bukan sekadar menghimpunkan masyarakat, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan, mengeratkan silaturahim serta memastikan adat dan budaya warisan masyarakat Dayak terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda,” katanya.

Menurut Uggah, penganjuran aktiviti berteraskan budaya seperti itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh jati diri masyarakat, di samping menjadi ruang kepada komuniti Bukit Saban yang berada di luar kawasan untuk terus mengekalkan hubungan kekeluargaan serta semangat kebersamaan.

Beliau turut menggesa golongan belia agar merebut pelbagai peluang yang disediakan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), termasuk inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi milik Sarawak, selain menceburi bidang keusahawanan, tenaga hijau, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta pembangunan modal insan.

“Belia merupakan aset paling berharga kepada Sarawak. Rebutlah setiap peluang yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan daya saing kerana masa depan negeri ini bergantung kepada penyertaan aktif generasi muda,” ujarnya.

Menyentuh pembangunan di Bukit Saban, Uggah berkata Kerajaan Sarawak terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi bagi mempercepat kemajuan kawasan tersebut, termasuk memperkukuh potensi Bukit Sadok sebagai destinasi pelancongan berasaskan sejarah dan warisan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau memaklumkan bahawa Jambatan Sungai Paku sudah siap dan akan dirasmikan pada penghujung Julai ini, sekali gus meningkatkan jaringan perhubungan, memudahkan pergerakan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Selain itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi menaik taraf Jalan Ulu Rimbas sebagai usaha berterusan memperkukuh kemudahan infrastruktur dan menyokong pembangunan kawasan tersebut.

Uggah berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Betong menerima kira-kira RM200 juta untuk melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, hampir RM9 juta lagi diperuntukkan bagi menjayakan projek pertanian di Bukit Saban, termasuk penanaman kelapa sawit dan lada sebagai usaha meningkatkan pendapatan isi rumah serta memperkukuh ekonomi penduduk luar bandar.

“Fokus utama Kerajaan GPS adalah untuk memperkukuh ekonomi rakyat dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Jangan lepaskan peluang yang disediakan menerusi pelbagai program dan inisiatif kerajaan kerana semuanya dirancang untuk membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyeru KAABS agar terus memperbanyak penganjuran program yang memberi manfaat kepada golongan belia, khususnya dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan dan pembinaan sahsiah, sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing, berkeyakinan serta bersedia memimpin pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

Majlis makan malam tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan Iban yang dipersembahkan oleh ASADIA dan GOAS, sekali gus mengetengahkan keunikan seni, budaya serta warisan masyarakat Dayak kepada para hadirin.

Penganjuran KAABS Cultural Night 2026 bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan dalam kalangan belia Bukit Saban yang menetap di Kuching, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan komuniti, memelihara warisan budaya serta menyemarakkan semangat kebersamaan demi memastikan identiti masyarakat Iban terus subur dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Mantan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris; Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak, Datu Jack Aman Luat dan Mantan Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak, Dato Haji Sulaiman bin Narawi.

Related Posts

Gagal kemuka dokumen sah, enam kru bot tunda ditahan di perairan Bintulu

BINTULU – Sebuah bot tunda bersama enam kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu selepas disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 di perairan Bintulu, pada Ahad.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Aduan tidak jalan, 200 nelayan OA terjejas akibat kerakusan bot pukat tunda ‘ratah’ hasil laut pesisir pantai

BATU PAHAT – Kira-kira 200 nelayan persisir pantai Orang Asli (OA) Kampung Sri Pantai terus berdepan isu pencerobohan bot pukat tunda di zon yang digazetkan kepada kumpulan itu sehingga menjejaskan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Gagal kemuka dokumen sah, enam kru bot tunda ditahan di perairan Bintulu

Gagal kemuka dokumen sah, enam kru bot tunda ditahan di perairan Bintulu

Gempar, pelajar perempuan cedera ditikam 16 kali di sekolah

  • By Aden
  • July 6, 2026
Gempar, pelajar perempuan cedera ditikam 16  kali di sekolah

Aduan tidak jalan, 200 nelayan OA terjejas akibat kerakusan bot pukat tunda ‘ratah’ hasil laut pesisir pantai

Aduan tidak jalan, 200 nelayan OA terjejas akibat kerakusan bot pukat tunda ‘ratah’ hasil laut pesisir pantai

Cultural Night satukan anak Bukit Saban, Uggah seru belia rebut peluang pembangunan

Cultural Night satukan anak Bukit Saban, Uggah seru belia rebut peluang pembangunan

SMK Merbau perkukuh aspek keselamatan kurangkan risiko kemalangan pelajar

SMK Merbau perkukuh aspek keselamatan kurangkan risiko kemalangan pelajar

England ke suku akhir lepas kalahkan Mexico

England ke suku akhir lepas kalahkan Mexico