
MIRI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau mengambil langkah proaktif memasang sistem kabel keselamatan di seluruh koridor dan kawasan tangga bagi memperkukuh perlindungan warga sekolahnya.
Inisiatif melibatkan penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat buat lebih 3,200 pelajar itu bermula Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya Ogos ini.
Menurut kenyataan sekolah tersebut pada Sabtu, projek pemasangan kabel di semua blok bangunan itu merupakan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya di kawasan laluan utama pelajar.
“Apabila siap kelak, keseluruhan koridor dan kawasan tangga akan dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan bagi memberikan perlindungan menyeluruh.
“Pihak sekolah percaya keselamatan bukan sekadar bertindak selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya perlu bermula dengan usaha pencegahan sebelum risiko terjadi,” jelas kenyataan itu.

Pelaksanaan projek berkenaan turut mencerminkan komitmen SMK Merbau menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan murid.
Dalam pada itu, pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan berterusan.
Justeru, inisiatif tersebut diharap menjadi pelaburan jangka panjang dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif agar pelajar dapat menimba ilmu dengan tenang.
Foto: Facebook SMK Merbau Miri





