
KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukan dana sebanyak RM3.5 juta tahun ini bagi penganjuran liga tiga sukan popular iaitu bola sepak, bola jaring dan sepak takraw.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, RM2 juta diperuntukkan kepada bola sepak, bola jaring (RM1 juta) dan sepak takraw (RM500,000).
“Peruntukan ini adalah antara usaha kita melahirkan pemain yang bukan sahaja untuk mewakili Pahang, malah kebangsaan melalui penganjuran kejohanan liga tiga sukan ini.
“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh yang tidak hanya penganjuran kejohanan sukan dikatakan sekejap buat, sekejap tidak atau bermusim,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Liga Bola Jaring Perdana Pahang 1st – Piala Menteri Besar Pahang di Stadium Tertutup Sukpa di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Presiden Persatuan Bola Jaring Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin
Mengulas penganjuran Kejohanan Liga Bola Jaring itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sedia menambah peruntukan RM500,000 yang menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.5 juta pada tahun depan.
Katanya, penambahan peruntukan itu berdasarkan prestasi dan pencapaian dipersembahkan skuad bola jaring Pahang di peringkat kebangsaan.
“Saya harap dengan tambahan peruntukan ini akan menyemarakkan lagi kejohanan bola jaring dan boleh mengajak anak muda dalam melahirkan pemain yang bukan sahaja mewakili Pahang, malah negara pada masa depan.
“Peruntukan ini juga untuk kita sama-sama aktif dalam sukan bola jaring kerana sekarang ini Pahang menduduki tempat kedua di peringkat kebangsaan,” katanya.




