
PUTRAJAYA – Pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) perlu disusun secara strategik bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan dan keyakinan pelabur diperkukuh.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemajuan JS-SEZ perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata dan bukannya bersandarkan kepada tarikh pelancaran dokumen semata-mata.
Jelasnya, ia merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan yang melibatkan Malaysia dan Singapura.
“Keputusan YAB Perdana Menteri untuk menyelaras pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Leaders’ Retreat oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada suku keempat tahun ini menunjukkan strategi Kerajaan Malaysia memastikan komitmen dua hala di peringkat tertinggi, sekali gus memberi impak publisiti dan keyakinan berskala global.
“Data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten
“Kementerian Ekonomi akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus kukuh supaya pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun dan inisiatif ini menjadi model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan demi membuka peluang pelaburan sebenar, pendapatan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Menurut data, tahun 2025 merekodkan RM76.98 bilion pelaburan diluluskan manakala Suku Pertama 2026 pula sebanyak RM5.49 bilion pelaburan baharu telah diluluskan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Ekonomi turut mengenal pasti potensi pelaburan baharu bernilai RM74.12 bilion yang kini dalam fasa rundingan dan penilaian.



